fb fb fb fb fb

12 graduan cemerlang 2021/2022 terpilih jalani latihan khas ‘Pahang Talent’

KUANTAN, 6 Julai- Seramai 12 daripada 400 graduan anak Pahang 2021/2022 yang memperoleh keputusan cemerlang dan melepasi saringan, telah dipilih menjalani latihan khas ‘Pahang Talent’ bawah bimbingan barisan Exco Kerajaan Negeri dan Menteri Besar Pahang.

Program kerjasama Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang itu, akan menjadi platform bagi peserta menimba ilmu dan pengalaman, serta mendapat pendedahan secara langsung dalam bidang pekerjaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, mereka yang terpilih akan menjalani latihan berdasarkan portfolio exco masing-masing
selama 12 bulan.

“Ini adalah program pertama yang kerajaan negeri laksanakan. 2021-2022 terdapat lebih kurang 400 graduan dari Universiti Kebangsaan Malaysia , daripada Permata Pintar, Jabatan Perkhidmatan Awam, MARA yang telah dipilih melalui program ini dan seperti yang saya katakan tadi, mereka ini dipilih melalui beberapa fasa," kata Wan Rosdy dalam sidang media majlis penyerahan surat lantikan ‘Pahang Talent’ di sini.

(Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam sidang media majlis penyerahan surat lantikan ‘Pahang Talent’ di Kuantan, Pahang)

Katanya, mereka yang terpilih telah berjaya melepasi 3 peringkat saringan iaitu Ujian Profil Psikologi dan DNA Yayasan Pahang; Program Penilaian Simulasi; serta temu duga.

Sepanjang menjalani program latihan ini, setiap peserta akan menerima insentif bulanan sebanyak RM2,500.

Dalam pada itu, jelas beliau, peserta yang tamat latihan berpeluang diserap bekerja dengan agensi-agensi kerajaan negeri dan syarikat berkaitan Kerajaan Negeri Pahang, berdasarkan prestasi sepanjang mengikuti program berkenaan.

Media Baharu