SERI ISKANDAR, 23 Jun- Universiti Malaya (UM) muncul juara Pertandingan Debat Alam Sekitar ke-31 selepas menewaskan 28 institusi pengajian tinggi (IPT) lain dalam pertandingan akhir yang berlangsung di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) malam tadi.
Pasukan UM yang diwakili oleh empat pendebat Azhad Hafiz Md Razip Han 22; Khairul Nur Ayuni Rodzan Khairul, 22; Aiesya Salsabila Mohd Radzuan, 23; dan Ali Hydar Hafizi, 23 membawa pulang piala pusingan, piala iringan, wang tunai RM12,000 serta sijil penyertaan.
Meskipun UTP sekadar muncul naib juara, salah seorang pendebatnya Ahmad Idzhad Hamzie, 21, yang juga penuntut tahun dua Fakulti Kejuruteraan Petroleum, dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik dan menerima wang tunai RM2,000.
UTP membawa pulang piala iringan, wang tunai RM7,000 dan sijil penyertaan, manakala tempat ketiga dirangkul oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menerima piala iringan, wang tunai RM2,000 dan sijil penyertaan.
"Kejayaan UM kali ini amat bermakna buat pasukannya selepas beberapa percubaan terdahulu termasuk menamatkan saingan di tempat kedua pada edisi 2019." kata Azhad Hafiz.
Hadiah disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam), Datuk Nor Yahati Awang.
Turut hadir, Provos UTP, Datuk Ir Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib; Pengerusi Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), Prof Dr Mohd Izani Mohd Zain; serta Naib Presiden Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar Kumpulan PETRONAS, Zamri Japar.
Pertandingan anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS) ini turut mendapat kerjasama MADUM, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).