fb fb fb fb fb

24 Individu termasuk 17 rakyat Malaysia selamat tiba di KLIA dari Iran

Foto RTM

PUTRAJAYA 23 Jun - Seramai 24 individu, terdiri daripada 17 warganegara Malaysia, enam (6) warganegara Iran yang merupakan tanggungan kepada warganegara Malaysia, serta seorang warganegara Singapura.

Ke semua mereka selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) melalui penerbangan Malaysia Airlines MH 781 pada 22 Jun 2025, pukul 10.50 malam tadi.

Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, kesemua mereka telah melepasi sempadan Iran–Turkmenistan pada 21 Jun 2025.

Mereka kemudiannya menaiki penerbangan Turkmenistan Airlines T5 647 pada 22 Jun 2025 dan transit di Bangkok, Thailand, sebelum menaiki Malaysia Airlines MH 781 untuk pulang ke Malaysia.

Proses evakuasi ini berjaya dilaksanakan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, melibatkan perjalanan darat sejauh 1,120 kilometer ke pintu sempadan Iran–Turkmenistan.

Urusan penerbangan dari Ashgabat, Turkmenistan ke Bangkok, Thailand dan seterusnya ke Malaysia turut dibantu serta diselaraskan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Ashgabat dan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok.

Sehubungan itu, Kerajaan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Republik Islam Iran, Kerajaan Turkmenistan dan Kerajaan Thailand atas kerjasama erat yang telah diberikan, membolehkan proses membawa pulang rakyat Malaysia ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

"Proses evakuasi ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Malaysia dalam menjamin keselamatan dan kebajikan warganegara, selaras dengan nilai teras Ihsan dalam kerangka Malaysia MADANI." menurut kenyataan Wisma Putra malam tadi.

Terdahulu, Kedutaan Besar Malaysia di Ashgabat juga telah membantu pergerakan dan penerbangan warganegara Brunei Darussalam dari Turkmenistan pulang ke negara asal masing-masing.

Penglibatan seorang warganegara Singapura dalam operasi evakuasi ini serta bantuan kepada warganegara Brunei Darussalam turut mencerminkan kesediaan Malaysia untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat negara anggota ASEAN, sejajar dengan semangat solidariti serantau.

AZRUL FAIZAL JUSOH