KUALA LUMPUR, 31 Januari –Bagi memperkukuh jalinan kerjasama akademik antara dua negara, Universiti Malaya (UM) bersama-sama Universiti Brunei Darussalam (UBD), menganjurkan Forum Malaysia-Brunei (MBF 2023), bertemakan “Resilience and Transformation: Navigating Contemporary Challenges in Southeast Asia.
Forum anjuran Fakulti Sastera dan Sains Sosial kedua-dua universiti itu, mengetengahkan isu berkaitan cabaran kontemporari di Asia Tenggara sebagai tema utama selain pelbagai sub tema seperti budaya, masyarakat, tamadun, ekonomi, politik dan pengantarabangsaan, pembangunan lestari dan kesejahteraan sosial, media, komunikasi dan inovasi untuk dibincangkan.
Forum itu yang diadakan pada hujung bulan lalu, melibatkan seramai 43 orang ahli akademik merangkumi pensyarah, penyelidik dan pelajar pascasiswazah dari ke dua-dua universiti mengambil bahagian; selain turut melibatkan sesi pembentangan oleh 37 orang pembentang.
Forum julung kali diadakan itu juga bertujuan untuk memberikan peluang kepada ahli akademik; pensyarah, para penyelidik dan para pelajar pascasiswazah peringkat Sarjana dan PhD membentangkan hasil penyelidikan mereka, seterusnya membolehkan para peserta bertukar pandangan berkaitan isu-isu semasa di negara serantau.
Menurut Pengerusi MBF 2023, Prof. Madya Dr. Helena Muhamad Varkkey yang juga Timbalan Dekan (Penyelidikan), Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, perbincangan dalam forum tersebut diharap dapat meluaskan idea dan inovasi yang bersifat transformatif dan informatif seterusnya menjadi platfom kolaboratif dalam perkongsian antara dua buah negara.
“Perbincangan yang dijalankan dalam sesi pembentangan diharapkan dapat mengemukakan pandangan dan cadangan untuk kedua-dua negara berhadapan dengan cabaran dan rintangan yang berlaku di negara-negara Asia Tenggara terutamanya di Malaysia dan Brunei,” katanya menerusi kenyataan kepada RTM.
“Forum sebegini harus diteruskan untuk membina hubungan baik antara UM dan UBD terutamanya usaha sama dalam aktiviti pertukaran pelajar, pertukaran ahli akademik dan penyelidikan seterusnya dapat memberi impak besar bagi kedua-dua buah negara.
“Bukan itu sahaja, forum ini diharap dapat memupuk kerjasama antara disiplin ilmu, menjana ilmu pengetahuan di antara negara Brunei dan Malaysia,” kata Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam, Dr. Kathrina binti Dato Paduka Haji Mohd Daud.
Bagi peserta, mereka berharap agar forum akademik seperti itu dapat diteruskan kerana bukan sahaja bersifat informatif, tetapi juga dapat memupuk jalinan sosial yang baik di antara kedua-dua buah universiti.
“Perbincangan yang diadakan oleh dua buah universiti ini diharapkan dapat menyumbang kepada kemajuan ahli akademik berkongsi kepakaran, pengalaman dan perbincangan intelektual seterusnya memupuk hubungan kerjasama jangka panjang yang bermakna di antara kedua-dua institusi ini,” kata Dr. Asbah yang juga merupakan sekretariat program.
“Forum ini juga diharapkan dapat memberikan impak positif bagi kedua-dua buah negara seterusnya mewujudkan kolaboratif dalam semua aspek seperti pertukaran para pensyarah, pertukaran pelajar, penyelidikan dan juga pengajaran. Semoga usaha kedua-dua buah universiti dalam menjalinkan hubungan akademik sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang,” tambah Dr. Asbah.