fb fb fb fb fb

Langkawi dipilih antara 10 pulau terbaik di dunia

Langkawi, diundi pulau kesembilan terbaik dunia oleh majalah Travel + Leisure

LANGKAWI, 31 Januari- Pemilihan Pulau Langkawi sebagai salah sebuah daripada 10 pulau terbaik dunia dalam World's Best Award 2023 oleh pembaca majalah Travel + Leisure merupakan satu lagi pengiktirafan dunia terhadap pulau lagenda yang menjadi kebanggaan Negeri Kedah dan seluruh Malaysia itu.

Majalah Travel + Leisure berpangkalan di New York dan diterbitkan sejak tahun 1937 dengan jumlah pembaca melebihi 4.8 juta di seluruh dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata pengiktirafan daripada majalah yang sangat berpengaruh dalam sektor pelancongan itu merupakan impian yang tidak mudah dijangkau.

“Jadi, apabila Pulau Langkawi berada dalam senarai itu, dengan skor 93.65, kita tentulah berhak berasa bangga dan teruja.

"Untuk itu, setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada semua komuniti Langkawi, para pemain industri pelancongan, agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan, pihak swasta, NGO, dan sesiapa sahaja yang tidak pernah berkira dalam memberikan sumbangan untuk menjadikan Pulau Langkawi antara destinasi pelancongan terulung di dunia,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berharap pengiktirafan ini akan menjadi isyarat awal bahawa Pulau Langkawi akan terus mendapat lebih banyak pengiktirafan antarabangsa di sepanjang tahun 2024 sekaligus perjalanan menuju Tahun Melawat Kedah 2025 akan kekal segar dan akan gemilang bersinar.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE