KUALA LUMPUR, 31 Januari- Bermula esok hingga 16 Februari 2024, semua penumpang LRT Laluan Ampang/Sri Petaling dan Putra Heights boleh meneruskan perjalanan ke Stesen Masjid Jamek tanpa perlu menukar kepada tren perantara.
Ketua Pegawai Operasi LRT, Rapid Rail Sdn Bhd, Nor Azmi Mohd Yusof bagaimanapun berkata, penumpang masih perlu mendapatkan khidmat bas perantara percuma bagi meneruskan perjalanan di antara Stesen Masjid Jamek ke Stesen Bandaraya.
Pada masa sama, Rapid Rail dalam percubaan akhir perkhidmatan LRT di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya, sebagai persiapan sebelum pembukaan sepenuhnya laluan ini kepada pengguna pada hujung Februari ini.
"Kekerapan tren ditambah baik menjadi 3.5 minit untuk kawasan daerah pusat perniagaan dan 7 minit di luar daerah pusat perniagaan.
"Kita menjangkakan pada penghujung bulan Februari ini operasi untuk laluan Ampang dan Sri Petaling ini akan kembali normal,"katanya.
Beliau ditemui pada sesi taklimat media di ibu negara.
Laluan antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya ditutup sejak 27 Januari 2023 susulan daripada kejadian kerosakan struktur dan landasan berhampiran Stesen LRT Bandaraya yang telah menyebabkan tren tidak dapat melalui kawasan berkenaan.