fb fb fb fb fb

Ulang tahun ke-78: Pemimpin UMNO perlu teroka pendekatan baharu

Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan ketika hadir pada Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-78 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini/Facebook UMNO Online

KUALA LUMPUR, 11 Mei- UMNO perlu perlu mencipta sentimen dan menerajui naratif pemikiran rakyat, untuk kekal relevan dalam arena politik negara.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemimpin UMNO juga perlu menjadi peneraju dalam pemikiran rakyat bagi mengekang fitnah yang dilemparkan oleh pihak tertentu terhadap parti keramat itu dengan menguasai penggunaan media sosial.

"Kita mesti melakukan sesuatu yang lebih di luar kotak...atau tanpa kotak...mesti melakukan sesuatu di luar kebiasaan.

"Ya, asas perjuangannya tetap sama, tetapi penyampaiannya kepada rakyat kini jauh berbeza.

"Inilah yang saya katakan UMNO perlu berubah. Kita mesti menguasai platform media sosial. Cipta sentimen, naratif dan aura positif untuk dekati rakyat," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun ke-78 UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini malam ini.

Justeru, beliau menyeru pemimpin UMNO agar memanfaatkan penggunaan pelbagai platform media sosial seperti TikTok dan Instagram dalam usaha mendekatkan lagi parti itu dengan akar umbi khususnya pengundi 18.

Ahmad Zahid juga berkata, UMNO akan terus berikhtiar dengan pelbagai usaha agar parti itu terus menjadi pilihan rakyat dan tidak sesekali 'tenggelam' dalam lipatan sejarah.

"Sementara kita mengimbau sejarah, ingin saya tegaskan, berdirinya saya di sini sebagai Presiden UMNO kelapan, tekad dan sumpah saya, UMNO tidak sesekali akan tenggelam dalam lipatan sejarah," katanya.

Terdahulu, sambutan yang dibuat secara sederhana itu bermula pada pukul 7.00 malam, dengan acara solat hajat dan berakhir dengan majlis jamuan.

Acara sama turut diadakan secara serentak di seluruh negara.

Ulang tahun UMNO yang disambut setiap tahun pada 11 Mei adalah manifestasi ahli parti menunjukkan semangat perjuangan parti tidak pernah luntur dalam meniti usia emas parti.

SITI AISHAH MD ISA