KUALA LUMPUR, 11 Mei- Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dinasihat untuk tidak lupa kepada dasar perjuangan parti dalam mewujudkan perubahan selepas memperoleh kemenangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR mahu pemimpin tidak mudah leka dengan kuasa yang diamanahkan rakyat.
Anwar yakin PKR tidak akan berganjak daripada prinsip parti bagi mempertahankan hak setiap rakyat walaupun diserang pihak tertentu yang sering menjadikan perkauman sebagai isu perbalahan.
"Jangan sesekali kita lupa pada dasar perjuangan ini. Sepertimana saya selalu sebut, kuasa itu mampu memukau, kuasa itu suatu yang gemerlapan.
"Maka ingat tentang asas perjuangan, jangan guna kuasa untuk menimbun harta, jangan guna kuasa untuk hilangkan idealisme bahawa kita pegang amanah untuk melakukan perubahan,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan 25 Tahun PKR di Depot Sentul di sini malam ini.
Tambah Anwar, bakat pemimpin muda perlu digilap dan bersedia untuk meneruskan perjuangan PKR kerana ramai individu yang mengasaskan parti itu termasuk Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta rakan-rakannya semakin berusia dan ada antara mereka sudah uzur.
Justeru, generasi muda tidak harus melupakan dasar perjuangan parti selama 25 tahun sejak penubuhan PKR.
"Mereka ini berjuang tanpa habuan, tanpa kedudukan tapi semata-mata demi pengorbanan. Saya harap generasi baharu tidak akan melupakan jasa mereka," katanya.