fb fb fb fb fb

Ulang tahun hari keputeraan ke-75 Tuanku Muhriz

SERI MENANTI, 14 Januari- Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah pemimpin yang diberikan mandat oleh rakyat perlu mempunyai keikhlasan tinggi untuk berkhidmat demi rakyat dan meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan sendiri.

Baginda bertitah, ini kerana konflik dan budaya politik yang sempit secara berterusan hanya akan memperlihatkan negara sebagai sebuah negara yang tidak stabil dan rapuh.

Walaupun wujud perbezaan agenda dan ideologi, namun baginda yakin tentu ada persamaan terutama dalam agenda pembangunan dan kebajikan rakyat bagi membentuk negara yang lebih makmur.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat bersempena ulang tahun hari keputeraan ke-75 baginda di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti.

Turut berangkat ke majlis itu, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Sambutan Hari Keputeraan ke-75 baginda hari ini bermula dengan Kawalan Kehormat Utama di Padang Awam Seri Menanti.

Tembakan meriam sebanyak 21 kali sebagai simbolik Hari Keputeraan baginda diiringi dengan lagu Negeri Sembilan.

(Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir)

Media Baharu