KAZAN, 16 Mei- Ulama dan cendekiawan Islam diingatkan agar tidak terus terperangkap dalam perdebatan lapuk, sebaliknya memberi ruang kepada suara belia dengan bimbingan berasaskan nilai, moral dan realiti semasa.
Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menyeru agar dasar belia dibentuk dengan penglibatan anak muda, terutama dalam menangani cabaran seperti kesihatan mental, jurang pendidikan dan gangguan digital.
"Kerana anak muda kita tidak boleh terus sekadar memerhati bagaimana para ulama dan ilmuwan kita terus berbahas mengenai isu-isu tertentu.
"Di Malaysia, kita memang menekankan pembangunan budaya, termasuk dalam bidang teknologi seperti kecerdasan buatan dan lain-lain, namun kita tetap mengangkat kepentingan nilai moral.
"Justeru, kita amat mengharapkan penyertaan aktif daripada golongan belia," katanya.
Datuk Seri Anwar berkata demikian menerusi ucaptama beliau di Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik Rusia-Dunia Islam sempena KazanForum 2025 di sini.
Malaysia turut mencadangkan kerjasama dalam tiga bidang utama iaitu pendidikan, keusahawanan digital dan kepimpinan belia.
Ini termasuk penubuhan 'Youth Policy Research Council' dan 'Kazan-Kuala Lumpur Fellowship'.
Perdana Menteri turut menghargai sokongan Presiden Rusia, Vladimir Putin terhadap usaha memperkukuh pembangunan dan kestabilan belia dunia Islam.