
KUALA LUMPUR, 24 Januari – Pelaksanaan ujian saringan diagnostik bagi kemasukan murid ke tahun satu tidak akan mewujudkan sistem kasta dalam pendidikan negara, sebaliknya bertujuan menilai tahap sebenar penguasaan murid pada usia awal.
- Ujian saringan bertujuan menilai tahap sebenar penguasaan murid pada usia awal untuk menyesuaikan pengajaran.
- Guru boleh mengenal pasti keupayaan murid dan memberi sokongan atau peluang sesuai mengikut kebutuhan.
- Langkah ini sejajar dengan usaha Kerajaan MADANI untuk pendidikan adil dan inklusif.
- Pelaksanaan berintegriti dan berteraskan nilai kemuliaan serta keadilan akan mencegah wujudnya sistem kasta.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Citra Universiti (CITRA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ts. Dr. Ahmad Firdhaus Arham, berkata penilaian tersebut membolehkan guru mengenal pasti tahap penguasaan murid dengan lebih berkesan, sekali gus membantu menyesuaikan kaedah pengajaran mengikut keupayaan dan tahap kefahaman setiap murid.
Menurut beliau, pendekatan itu selari dengan usaha Kerajaan MADANI untuk memastikan setiap murid diberi peluang pendidikan yang adil dan inklusif tanpa mengira tahap kebolehan.
“Kerajaan MADANI berusaha memastikan murid yang lemah dibantu dan diperkasakan, manakala murid yang mempunyai keupayaan baik terus disokong dengan menyediakan peluang serta ruang yang lebih besar untuk mereka berkembang,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa semua murid perlu dilayan secara sama rata, dengan murid yang lemah diberikan sokongan sewajarnya, sementara murid cemerlang pula terus didorong untuk mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi.
Tambah beliau, isu kewujudan sistem kasta tidak akan timbul sekiranya pelaksanaan sistem pembelajaran dan pendidikan negara berteraskan nilai kemuliaan serta keadilan.
“Insya-Allah, selagi sistem pendidikan kita dilaksanakan dengan baik dan berintegriti, isu kasta tidak akan wujud,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.