CYBERJAYA, 18 Disember - Kerjasama strategik antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Malaysian Press Institute (MPI) bakal memperkukuh pembangunan bakat komunikasi dan kewartawanan, sekali gus memberi manfaat kepada pelajar serta masyarakat melalui penyampaian maklumat yang lebih beretika dan berkualiti.
Penolong Naib Canselor (Komunikasi Strategik) UiTM, Prof. Dr. Ismie Roha Mohamed Jais berkata, kerjasama ini membuka ruang kepada pelajar untuk mendapat pendedahan kepada amalan sebenar industri media.
”Berbekalkan kepakaran tenaga pengajar di MPI dan juga tenaga serta bakat di UiTM, kami lihat ada peluang untuk meneroka kerjasama sedemikian. Ini akan kita bincang lebih lanjut dan diharap dapat dilaksanakan pada masa hadapan,” katanya selepas mengadakan kunjungan bersama-sama pegaia Pejabat Komunikasi Strategik (PKomS) UiTM ke ibu pejabat MPI.
“Pelajar akan mendapat nilai tambah melalui latihan berfokus industri yang membantu membentuk kemahiran komunikasi, pemikiran kritikal serta kefahaman tentang etika dan tanggungjawab dalam penyampaian maklumat kepada rakyat,” tambahnya.
Menurut beliau lagi, hubungan erat antara institusi pengajian tinggi dan organisasi media juga penting dalam memastikan maklumat awam disampaikan secara tepat, berintegriti dan berfakta.
Sementara itu, Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong berkata, MPI bersedia berkongsi kepakaran dalam latihan kewartawanan dan pemantapan etika media.
“Kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar, malah membantu meningkatkan kualiti kandungan media yang diterima rakyat,” katanya.
Kerjasama UiTM–MPI ini dilihat mampu menyumbang kepada pembangunan ekosistem komunikasi yang profesional dan bertanggungjawab.