fb fb fb fb fb

UIAM seru institut pendidikan baca Qunut Nazilah selama sebulan

Lebih 16,000 menyertai Perhimpunan Malaysia Bersama Palestin di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil pada 24 Oktober lalu/FOTO AFP

GOMBAK, 28 Oktober - Jabatan Pengajian Qur'an dan Sunnah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyeru semua masjid dan surau utama institusi pendidikan seluruh negara melaksanakan bacaan doa Qunut Nazilah pada rakaat terakhir setiap solat fardhu selama sebulan sebagai solidariti kepada rakyat Palestin.

UIAM melalui kenyataan hari ini turut menggesa pihak berkuasa agama melalui semua Majlis dan Jabatan Agama Islam melakukan perkara yang sama susulan serangan zionis Israel dijangka makin mengganas.

"Pembacaan Qunut Nazilah dalam setiap solat fardhu dalam satu jangka masa ketika umat Islam sedang ditimpa musibah seperti peperangan adalah tuntutan Sunnah Nabi.

"Marilah kita hidupkan Sunnah Nabi dalam memohon kemenangan dan keselamatan rakyat Palestin bersama segala usaha solidariti yang termampu.

"Sama ada melalui saluran diplomatik, bantuan kewangan, kemanusiaan mahupun sebaran kesedaran dan penerangan tentang mereka di sana," katanya.

Jabatan itu juga memuji ketegasan kerajaan dalam komitmen menyokong perjuangan rakyat Palestin tanpa berbelah bahagi dan tidak apologetik.

"Sikap berat sebelah atau double-standard kuasa besar dunia terhadap penderitaan dan penjajahan selama 75 tahun keatas bumi Palestin perlu dikecam," katanya.

Memasuki minggu ketiga konflik Israel-Palestin, sekurang-kurangnya 7,326 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan zionis Israel sejak 7 Oktober lalu.

Sementara itu, lebih 1,400 orang terbunuh dalam serangan Hamas ke atas Israel.

Pada 24 Okt lalu, media melaporkan lebih 16,000 menyertai Perhimpunan Malaysia Bersama Palestin di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil sebagai tanda solidariti negara bersama rakyat Palestin.

Perhimpunan itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyampaikan amanat khasnya bahawa beliau tidak sesekali gentar dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang dianiaya rejim zionis Israel.

GRACE AISYAH KEDAYAN