KUALA TERENGGANU, 28 Oktober- Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) yang kini dalam proses reka bentuk dijangka mula beroperasi seawal 2026.
Ia bakal dibina di sembilan negeri yang sering dilanda banjir teruk termasuk di Sabah dan Sarawak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas, Datuk Armizan Mohd Ali berkata proses tender bermula awal tahun hadapan.
Pembinaannya yang secara purata memperuntukkan kos siling RM5 juta akan mengambil masa 18 bulan untuk siap.
Bakal dilengkapi dengan kemudahan yang bersesuaian, ia mampu memuatkan 500 penduduk terjejas banjir pada satu-satu masa.
"Kemudahan di PPKB akan dwifungsi semasa bencana dan boleh dimanfaatkan pihak sekolah untuk dijadikan pusat aktiviti lain. Kedua kerana kita mahu projek ini dilaksanakan segera. Apabila kita menggunakan sekolah sebagai tempatnya, maka isu pemilikan tanah baharu boleh kita tangani daripada mencari tanah baharu," katanya ketika melawat tapak cadangan pembinaan PPKB di Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Peradong, Kuala Terengganu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi menghadapi Monsun Timur Laut yang diramal bermula bulan hadapan, 8,481 pusat pemindahan sementara (PPS) dikenal pasti di seluruh negara.
Katanya, 749 daripadanya adalah di Terengganu.