fb fb fb fb fb

6 Edisi pameran JCCM rekod hasil pulangan RM4.58 juta

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar

PETALING JAYA, 28 Oktober- Pameran dan Jualan Jerayawara Jom Cuti-Cuti Malaysia (JCCM) untuk enam edisi sebelum ini berjaya merekodkan hasil pulangan sehingga RM4.58 juta.

Ia melibatkan sehingga 20,947 pakej jualan pelancongan.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berkata, edisi kali ini menyaksikan lebih 100 penyertaan pakej pelancongan dengan diskaun antara 15 hingga 50 peratus.

"Masih lagi ramai belum memikirkan ke mana hendak pergi, jadi dengan itu, kita kini membantu dengan mewujudkan pakej-pakej yang baik, dengan diskaun yang baik supaya mereka boleh mula memikirkan lokasi cuti, sebelum akhir tahun ini, lokasi hendak bercuti.

"Jadi itulah cara kita merangsangkan perkara tersebut kerana kita tahu rakyat Malaysia buat keputusan untuk bercuti pada saat akhir adalah satu perkara yang sangat lazim", katanya kepada pemberita dalam Majlis Perasmian Jerayawara Jom Cuti-Cuti Malaysia 2023 di Petaling Jaya.

Ia sekali gus membantu mengembangkan ekonomi penggiat industri tempatan menerusi 30 wakil industri termasuk sektor pelancongan, perhotelan dan taman tema.

Tambahnya, mendepani Tahun Melawat Malaysia 2026, Tourism Malaysia bergerak lebih agresif dalam mencapai sasaran 26.1 juta pelancong asing dengan anggaran perbelanjaan sehingga RM97.6 billion.

ROSLINA BINTI DIN