fb fb fb fb fb

Pekebun kecil digalak mendaftar di bawah KPSM

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof

BINTULU, 28 Oktober- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menyeru agar pekebun kecil mendaftar di bawah Koperasi Penanaman Sawit Mampan (KPSM).

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, usaha itu penting bagi memastikan tiada keciciran dalam agihan peruntukan bantuan kerajaan buat golongan berkenaan. 

Beliau turut menggalakkan lebih banyak KPSM ditubuhkan di negeri itu.

"Sehingga 30 September, koperasi yang telah ditubuhkan di seluruh negara adalah 69 buah. Daripada jumlah itu, 18 buah berada di Sarawak. Jumlah keahlian di Sarawak ialah 3,955 orang, jumlah pekebun kecil keseluruhan negeri Sarawak 46,325 orang. Yang menyertai koperasi hanya 3,000 lebih ... sayang, saya menyeru, kalau dapat siapa yang belum jadi ahli, cepat-cepat jadi ahli dan daerah yang belum ada, cepat tubuhkan koperasi.

"Ini akan membantu untuk meningkatkan pendapatan, dapat menjaga keahlian, dapat membangunkan industri sawit dalam kalangan pekebun kecil kita", katanya semasa berucap dalam Program Pemantapan MSPO di Daerah Tatau, Bintulu.

Tambahnya, langkah juga itu perlu bagi memudahkan permohonan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia, MSPO. 

Hadir sama, Menteri Industri Makanan dan Komuniti Sarawak, Datuk Stephen Rundi.

Dalam pada itu, pekebun kecil yang menerima Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) gembira mendapat pengiktirafan itu.

Mereka yang ditemui memberitahu, perkongsian maklumat mengenai kaedah penanaman dan bantuan yang diberi membantu meningkatkan lagi penghasilan sawit.

"Perasaan saya bila dapat sijil ini berasa cukup gembira sebab selama ini saya tidak dapat apa-apa. Hari ini saya terpilih, saya sangat gembira untuk mendapat hasil yang lumayan", kata pekebun kecil, Masir Anak Ibah.

"Saya berbanggalah sebab tidak pernah mendapat sijil ini, saya antara seorang daripada 10 orang lelaki yang mendapat sijil ini", kata pekebun kecil Radiah Jamalui yang ditemui dalam Program Pemantapan MSPO Pekebun Kecil Daerah Tatau, Bintulu. 

Dalam Majlis itu, seramai 10 pekebun kecil menerima pensijilan bagi mewakili 1,143 pekebun di sekitar Daerah Tatau.

ROSLINA BINTI DIN