NIBONG TEBAL, 28 Oktober- Siasatan lanjut sedang dijalankan Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung dakwaan terdapat sekolah yang menggunakan replika senjata semasa menjalankan Minggu Solidariti Palestin.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata pihaknya masih menunggu laporan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) berhubung isu itu.
"Saya sudah arahkan siasatan mesti menyeluruh dan mesti ada laporan sebelum kita ambil sebarang tindakan," kata Fadhlina selepas menghadiri Program Taman Angkat Skuad Aman Wanita (AMANITA) di Taman Pekaka di sini.
Terdahulu, tular di media sosial video yang memaparkan penggunaan replika senjata yang dipercayai berlaku di sebuah sekolah rendah.
Bagaimanapun, KPM mengesahkan video tersebut dilaksanakan di luar tempoh program solidariti itu selain tidak mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.
Fadhlina berkata KPM tidak akan berkompromi dengan sebarang unsur ekstremisme, provokasi serta penggunaan replika senjata sepanjang pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin.
Tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya didapati ada sekolah yang melanggar garis panduan yang telah ditetapkan.
Menurut Fadhlina, garis panduan yang ditetapkan oleh pihak KPM menerusi libat urus bersama JPN dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sangat jelas dalam memastikan aktiviti tersebut berlangsung dalam keadaan harmoni.
"Ia dapat mengangkat nilai kemanusian, kedamaian dan keamanan sejagat. Saya masih membuat penegasan bahawa solidariti Palestin di semua sekolah-sekolah adalah digalakkan. Dan ini penting dalam kita menanam nilai-nilai positif dalam kalangan anak-anak kita. Dalam masa sama, kita tidak berkompromi unsur radikalisme, ekstremisme, keganasan dan replika senjata, tidak dibenarkan sama sekali berada dalam kawasan sekolah. Jadi kita minta semua sekolah untuk memberi perhatian penuh kepada garis panduan yang telah dibuat," kata Fadhlina.