SARIKEI, 20 Jun - Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, hari ini menasihatkan pemandu supaya mematuhi peraturan semasa menggunakan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) berikutan beberapa siri aduan dan isu kecurian aksesori amaran keselamatan di tapak pembinaan di sepanjang lebuh raya itu.
Beliau juga meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor projek pembinaan LPB di negeri in supaya menggantikan penghadang plastik, lampu berkelip dan papan tanda keselamatan yang dicuri atau rosak serta meningkatkan pemantauan peralatan keselamatan sebaik sahaja ia diganti atau diperbaiki.
“Saya minta pasukan (pembinaan lebuh raya) mengkaji semua (isu) ini dan terus memantau keadaan...bukan hanya membaiki dan melupakannya….Minta kerjasama pengguna lebuh raya supaya biarkan peralatan keselamatan ini,” katanya selepas meninjau Kontrak Pakej kerja 06 (WPC06) LPB dekat Jakar, di sini, pada Isnin.
Beliau mengulas aduan bahawa kehilangan peralatan keselamatan - kemungkinan besar disebabkan oleh pemandu kenderaan yang mengalihkan penghadang untuk membuat pusingan U bagi mengelak daripada perlu menempuh jarak jauh untuk membuat pusingan P.
Menurutnya tindakan tidak bertanggungjawab itu telah menyebabkan beberapa kemalangan jalan raya di bahagian lebuh raya yang belum siap itu.
Aduan mengenai tahap keselamatan LPB dipersoalkan berikutan kemalangan di Kilometer 52, Jalan Sibu-Bintulu dekat Selangau pada 5 Jun lalu yang mengorbankan lima orang termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun selepas laluan bahagian Jakar dinaiki air selepas hujan lebat.
“Pemandu kenderaan perlu mematuhi papan tanda jalan dan had laju untuk memastikan keselamatan diri. JKR dan kontraktornya perlu mengambil serius aduan dan kebimbangan orang ramai, mencari penyelesaian dan membetulkan keadaan segera,” katanya.
Hadir sama dalam tinjauan tersebut ialah Ahli Parlimen Sarikei, Datuk Seri Tiong Sii dan wakil rakyat Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing. - BERNAMA