KUALA LUMPUR, 24 Jun- Transport Expo Asia (TXA) 2025 disasar sebagai platform menghimpunkan pemain industri dalam sektor pengangkutan dan logistik serantau.
Ekspo sulung anjuran Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) itu akan berlangsung 11 hingga 13 November depan.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata penganjuran TXA 2025 mengukuhkan lagi peranan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam sektor pengangkutan dan logistik yang kompetitif.
“TXA 2025 menghimpunkan penggubal dasar, pemain industri, ahli akademik dan penyedia teknologi bagi membentuk masa depan mobiliti dan perdagangan yang lebih bijak serta mampan.
“Ini menjadi pentas untuk kita berbincang dan membentuk kemudahan pengangkutan serta perdagangan negara yang lebih hijau dan lestari,” katanya pada sidang media selepas melancarkan TXA 2025, hari ini.
Menurut Loke, TXA merupakan acara tambahan kepada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA), namun memberi fokus khusus kepada pemain industri pengangkutan.
Katanya, Kabinet telah memberi kelulusan kepada MOT untuk menganjurkan acara berasingan memandangkan LIMA kini lebih tertumpu kepada sektor pertahanan manakala TXA akan memberi fokus kepada sektor pengangkutan dan logistik.
“Tahun ini, MOT tidak lagi menjadi penganjur LIMA. TXA 2025 akan menjadi edisi sulung siri TXA dwitahunan dan TXA 2026 dirancang untuk dianjurkan pada suku ketiga tahun depan,” ujarnya, sambil memaklumkan lokasi penganjuran akan ditentukan kelak.
Antara program utama yang dirangka sempena TXA 2025 ialah Kongres Keselamatan Jalan Raya 2025 yang turut akan diteruskan dalam edisi 2026 sebagai acara tahunan rasmi.
“Kongres ini diadakan bagi meningkatkan kesedaran dan kerjasama dalam memperkukuh keselamatan jalan raya di Malaysia,” katanya.
Loke turut memaklumkan lebih 80 syarikat pempamer daripada pelbagai sektor termasuk pengangkutan pelbagai mod, logistik pintar, automasi, rantaian sejuk digital dan lain-lain akan mengambil bahagian dalam TXA 2025.
Acara itu dijangka menarik lebih 3,000 pelawat perdagangan termasuk delegasi ASEAN dan pemimpin industri dan akan diadakan di Hotel Sama-Sama di sini dengan tema “Future On The Move: Digital, Sustainable Transport, Agile Logistics & ESG-Driven Supply Chains.