fb fb fb fb fb

KPT nilai semula pengecualian bayaran balik PTPTN graduan kelas pertama IPTS

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 November – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menilai semula pelaksanaan dasar pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi graduan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama daripada kumpulan B40 dan M40 di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata langkah itu perlu kerana sistem penilaian akademik di IPTS tidak seragam seperti di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), justeru satu mekanisme yang lebih teliti diperlukan sebelum keputusan muktamad dibuat.

“Berkaitan IPTS, pihak kementerian sedang menilai keseluruhan mekanisme terbaik kerana sistem penilaian di setiap institusi berbeza. Di IPTA, kita mempunyai penanda aras yang jelas, jika seseorang memperoleh Ijazah Kelas Pertama, ia disahkan berdasarkan sistem penilaian yang seragam.

"Ini bukan bermaksud saya mempertikaikan kelulusan di IPTS, tetapi kita mahu memastikan mekanisme yang diguna pakai benar-benar adil dan tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026) peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menegaskan, buat masa ini dasar pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN diberikan kepada graduan kelas pertama daripada kumpulan B40 dan M40 di IPTA.

Dalam perkembangan lain, Zambry memaklumkan kerajaan sedang menyelaras semula keseluruhan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan kursus yang ditawarkan benar-benar menepati kehendak industri serta selari dengan perkembangan teknologi global.

Menurut beliau, antara pembaharuan utama ialah pelaksanaan konsep “embedded AI”, iaitu penerapan unsur kecerdasan buatan (AI) dalam semua kurikulum TVET di politeknik, kolej komuniti dan institusi berkaitan.

Langkah itu, katanya, akan memperkukuh keupayaan tenaga kerja tempatan menghadapi lonjakan sektor teknologi tinggi dan disokong kerjasama dengan pemain industri global seperti Geely dan BYD, yang kini melaksanakan pelaburan besar dalam sektor automotif elektrik dan teknologi tinggi di Malaysia.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN