fb fb fb fb fb

MOSTI fokus perkasa syarikat pemula berasaskan R&D berimpak tinggi

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 November – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memberi tumpuan kepada pembangunan syarikat pemula yang melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berimpak tinggi bagi memperkukuh daya saing negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata strategi baharu itu penting bagi memastikan Malaysia muncul sebagai antara pencipta teknologi terkemuka di rantau ASEAN serta berdaya saing di peringkat global.

“Cabaran utama negara ialah hakikat bahawa hanya 0.2 peratus, iaitu kira-kira 2,697 syarikat daripada 1.1 juta perusahaan di Malaysia yang aktif menjalankan R&D. Oleh itu, kerajaan perlu menumpukan usaha kepada peningkatan jumlah syarikat pemula yang melaksanakan R&D berimpak tinggi dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026) peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut beliau, pembiayaan R&D perlu disasarkan kepada bidang strategik seperti semikonduktor, elektrik dan elektronik (E&E), bioteknologi, serta kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan pembangunan ekonomi negara lebih seimbang dan berimpak tinggi.

Sebagai langkah merancakkan pembiayaan inovasi, kerajaan telah menggerakkan Dana Malaysia Science Endowment (MSE) dengan peruntukan sebanyak RM20 juta pada tahun 2026, selain menarik penyertaan pelabur swasta berjumlah RM110 juta dalam bidang semikonduktor, perubatan, aeroangkasa dan teknologi mendalam (deeptech).

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN