fb fb fb fb fb

TVET: Prasarana sasar latih 1,000 individu, fokus bangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi

Pemeteraian kerjasama strategik antara Prasaran dan Hitachi Rail di Petaling Jaya

PETALING JAYA, 23 April- Prasarana Malaysia Berhad menyasarkan untuk melatih 1,000 individu menerusi “Program TVET Prasarana ” yang akan bermula pada suku keempat tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, program selama sembilan bulan itu memberi fokus kepada pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi terutamanya sektor rel dan bas.

"Antara program yang ditawarkan termasuk pengoperasian bas elektrik, penyenggaraan tren (Rolling Stock), dan keselamatan siber, di mana peserta akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf," katanya dalam sidang media Program TVET Prasarana di sini.

Program ini menyasarkan penyertaan daripada lepasan sekolah, pelajar institusi vokasional, pemegang diploma serta graduan universiti, selaras dengan keperluan industri dan aspirasi negara untuk memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Ini selari dengan keperluan industri serta menyokong Dasar TVET Negara 2030 yang menyasarkan untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran dan berpendapatan tinggi.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, Prasarana turut memeterai kerjasama strategik bersama Hitachi Rail bagi memperluas pelaksanaan program TVET di Malaysia.

Dalam majlis yang sama, turut dilancarkan Program Protege Hitachi yang melibatkan penyertaan seramai 28 peserta.

Program ini memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi bersama barisan kepimpinan kanan syarikat, selain mengikuti lawatan pembelajaran ke pusat kawalan operasi rel serta depot penyelenggaraan.

ROSLINA BINTI DIN