fb fb fb fb fb

Remaja 16 tahun didakwa dua pertuduhan, memiliki bahan lucah

Foto Fail

KULAI, 23 April- Seorang remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Kulai, Johor atas dua pertuduhan memiliki bahan lucah dan menyunting gambar kanak-kanak menjadi bahan lucah.

Tertuduh yang berusia 16 tahun itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki bahan lucah, namun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyunting gambar kanak-kanak menjadi bahan lucah.

Dia membuat pengakuan itu di hadapan Majistret R. Salini dalam prosiding yang diadakan secara tertutup.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki 14 keping gambar lucah di dalam telefon bimbitnya, di Taman Indahpura, Kulai, 8 April lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menghasilkan bahan penganiayaan seksual seorang mangsa perempuan berusia 17 tahun dengan cara menyunting gambar menjadi gambar lucah.

Perbuatan dilakukan di lokasi sama pada pukul, 9 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. 

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan manakala tarikh sebutan semula kes pada 23 Jun nanti. 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM