TAPAH, 23 April - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mahu budaya politik kebencian terutamanya ketika berkempen supaya dihentikan segera. Unsur-unsur menanam kebencian hanya akan menggugat keamanan yang dikecapi hari ini.
Jelas beliau yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan, parti bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning berhak meraikan demokrasi dengan mengetengahkan calon masing-masing. Bagaimanapun perlu henti sebar sentimen yang boleh memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum di negara.
"Kalau ada elemen-elemen atas nama politik memilih jalur bahawa berbeza pendapat antara kami dengan kamu, berbeza pilihan, berbeza warna itu dijadikan asas untuk menanam bibit kebencian, makan itu tidak boleh.
"Kerana orang yang berkempen 14 hari lepas tu dia balik, orang Ayer Kuning la yang akan duduk, jadi kalau sepanjang 14 hari ni naik pentas untuk menjalankan kempen silakan, ini pesta demokrasi, keamanan pihak polis jaga," kata Saifuddin.
Beliau ditemui pada sidang media Program Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Sukarelawan Malaysia daerah Batang Padang di Dewan Komuniti Kampung Changkat Petai, di sini.
Dalam pada itu,Saifuddin menyifatkan tujuh laporan polis yang diterima sepanjang tempoh kempen PRK Ayer Kuning adalah rendah berbanding kempen pilihan raya sebelum ini, sekali gus menggambarkan pematuhan terhadap peraturan kempen berada pada tahap yang baik.