PUTRAJAYA, 2 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan bahawa tarikh 2 Jun yang diisytiharkan sebagai Hari TVET Negara mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai laluan utama kerjaya masa depan.
Menerusi satu hantaran di Facebooknya, beliau berkata pengiktirafan berkenaan adalah simbol iltizam negara untuk membina generasi pekerja yang berkemahiran tinggi, dinamik dan tahan lasak dalam menghadapi cabaran ekonomi global.
"Tanggal 2 Jun diisytiharkan secara rasmi sebagai Hari TVET Negara.
"Ia merupakan manifestasi tekad dan komitmen kita untuk menjadikan TVET sebagai pilihan utama dalam melahirkan tenaga kerja masa depan yang dinamik, berkemahiran dan berdaya tahan," katanya.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara memaklumkan, sambutan Hari TVET Negara akan menjadi platform penting untuk menonjolkan kemajuan ekosistem TVET yang semakin berkembang sebagai pemacu utama pembangunan modal insan negara.
"Ia turut menjadi pentas utama yang menawarkan pelbagai peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang TVET daripada pelbagai pihak kerajaan, swasta, institusi pendidikan dan komuniti," ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa segala inisiatif ini adalah selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, yang memberi penekanan kepada peluasan akses pendidikan kemahiran, terutama kepada pelajar luar bandar.
"Usaha ini turut melibatkan penambahbaikan fasiliti latihan serta galakan kepada belia yang ingin membina masa depan mereka melalui laluan kemahiran. Ini juga sebahagian daripada keutamaan kita dalam kerangka Malaysia MADANI," katanya lagi.
Ahmad Zahid turut menzahirkan keyakinan bahawa sokongan berterusan pelbagai pihak, akan membolehkan TVET kekal sebagai tunjang kepada kemajuan negara dalam membina Malaysia yang lebih inklusif, progresif dan berdaya saing di peringkat global.