fb fb fb fb fb

TH pastikan tiada jemaah Malaysia tertinggal Wukuf di Arafah

Foto RTM

MEKAH, 2 Jun 2025 – Lembaga Tabung Haji (TH) memberi jaminan bahawa tiada jemaah haji Malaysia akan tertinggal untuk berwukuf di Arafah pada Khamis ini, susulan arahan Kerajaan Arab Saudi yang melarang pergerakan jemaah secara berjalan kaki dari Mekah ke Arafah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Naim Mokhtar berkata, Kerajaan Arab Saudi telah memberi komitmen untuk menyediakan pengangkutan mencukupi bagi memastikan semua jemaah dapat sampai ke Arafah dengan selamat dan teratur.

“Mereka akan menyediakan pengangkutan yang mencukupi untuk memastikan tiada jemaah haji yang bergerak secara berjalan kaki. Pihak Tabung Haji juga telah bersedia dari segi pengangkutan dan tidak ada masalah. Kita akan pastikan jemaah haji tidak akan tertinggal di belakang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Pelancaran Kempen Kebersihan Masyair dan Ramah Mesra bersama jemaah di Maktab Penginapan Abraj Al Tayseer, pagi tadi.

Tambah beliau, segala persiapan operasi Masyair kini berada pada tahap optimum bagi menyambut ketibaan lebih 31,000 jemaah haji Malaysia ke Arafah, Muzdalifah dan Mina bermula Rabu ini, 4 Jun 2025 bersamaan 8 Zulhijjah 1446 Hijrah.

“Petugas-petugas haji kita memang akan berada awal di Masyair, khususnya di Arafah, untuk menerima dan memandu arah jemaah ke khemah masing-masing. Ini menunjukkan tahap kesiapsiagaan yang tinggi telah dicapai,” jelasnya lagi.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD