fb fb fb fb fb

Tuntutan Penyakit Khidmat sedang diproses -PERKESO

KUALA LUMPUR, 3 April- Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kini akan memproses semua tuntutan faedah berkaitan kes COVID-19 sebagai Penyakit Khidmat.

Pelaksanaan tersebut dilihat tepat pada masanya berikutan aktiviti ekonomi di seluruh negara mula menunjukkan perkembangan yang positif sekaligus ramai rakyat yang sudah kembali bekerja.

Melalui kenyataan, PERKESO menyatakan langkah itu juga selari dengan ‘exit strategy’ yang digagaskan oleh Kerajaan.

Namun, permohonan tuntutan faedah COVID-19 sebelum 1 April 2022 masih diproses sebagai Bencana Kerja.

Selepas tarikh tersebut, tuntutan Orang Berinsurans PERKESO masih layak dipertimbangkan, namun terhad kepada pekerjaan yang terdedah kepada agen biologi dan adanya jangkitan dalam kalangan pekerja jagaan kesihatan.

Sehingga 26 Mac 2022, PERKESO telah menerima sebanyak 132,988 kes tuntutan faedah COVID-19 yang merangkumi pekerja tempatan dan asing.

Daripada jumlah tersebut, lebih RM133 juta telah dibayar kepada orang berinsurans PERKESO sejak pemberian faedah ini mula dilaksanakan pada 24 Februari 2021.

Terdahulu, PERKESO telah mengambil tindakan proaktif dan memproses kes tuntutan melibatkan COVID-19 sebagai satu Bencana Kerja dan bukannya satu Penyakit Khidmat sebagaimana Prosedur Operasi Standard ketika itu.


(Kenyataan daripada PERKESO)

Media Baharu