fb fb fb fb fb

Tuntutan 40% hasil Sabah : Jawatankuasa Khas jadi pemacu rundingan Persekutuan–Sabah

FOTO RTM

SERDANG, 24 November - Penubuhan Jawatankuasa Khas Persekutuan–Sabah bagi membincangkan mekanisme pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil Sabah merupakan langkah proaktif dalam memastikan penyelesaian dan mekanisme pelaksanaan tuntutan tersebut dilaksanakan mengikut tempoh ditetapkan.

Pengarah Program MBA & DBA, Putra Business School, UPM, Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff menjelaskan penubuhan jawatankuasa itu juga bagi memenuhi keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi Sabah sebelum ini.

Menurut beliau, mahkamah telah menetapkan bahawa semakan terhadap tuntutan itu perlu dibuat dalam tempoh 90 hari, manakala persetujuan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah mesti dicapai dalam tempoh 180 hari daripada tarikh perintah dikeluarkan.

“Jawatankuasa khas ini akan memperincikan skop tugas serta tanggungjawab pelaksanaan tuntutan tersebut, selain memastikan perbincangan susulan dapat diteruskan bersama Kerajaan Negeri baharu selepas Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata jawatankuasa itu juga akan berfungsi merangka cadangan dan menyediakan laporan sebelum mengemukakannya kepada Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 dan Jemaah Menteri.

“Jawatankuasa ini juga berperanan mengemukakan cadangan, makluman dan laporan terus kepada Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 serta Jemaah Menteri, bagi memastikan penyelesaian dan mekanisme pelaksanaan tuntutan tersebut dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.”

Pada 11 November lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan dan membayar semula hak tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah mengikut Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD