KUALA LUMPUR, 24 November — Penubuhan Jawatankuasa Khas Persekutuan-Sabah Kerajaan Negeri Sabah membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan memiliki keazaman politik dan pendekatan pragmatik dalam menyelesaikan tuntutan 40 peratus hasil Sabah secara berkesan.
Menurut Prof. Datuk Dr. Sivamurugan Pandian, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan,Universiti Sains Malaysia (USM), kewujudan jawatankuasa khas itu juga bukan bermotifkan politik semata-mata tetapi turut memenuhi tanggungjawab kerajaan dalam membantu rakyat.
“Ini menunjukkan bahawa kepimpinan Kerajaan Persekutuan memiliki nilai pragmatik, dengan fokus memastikan isu ini memberi manfaat kepada rakyat secara menyeluruh. Ia juga menekankan komitmen kerajaan supaya tindakan ini tidak dilihat sebagai langkah politik semata-mata, tetapi bertujuan memenuhi tanggungjawab sebenar sebuah kerajaan yang bertanggungjawab,” katanya.
Beliau turut menambah, jawatankuasa itu juga memastikan pelaksanaan isu dilakukan secara teratur, lancar dan berkesan, di samping menyediakan cadangan dan laporan kepada pihak berkenaan.
“Ia mempamerkan hubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan, menunjukkan pendekatan berasaskan konsensus, persetujuan bersama dan kolektif untuk memelihara keharmonian antara negeri dan pusat. Pada masa sama, ia mengukuhkan nilai kepimpinan berorientasikan rakyat, memastikan kepimpinan memberi manfaat dan nasihat yang jelas kepada rakyat di Sabah.”
