KUALA LUMPUR, 7 Jun- Realiti politik semasa menuntut kerjasama dan penyatuan parti-parti politik berbilang kaum untuk bersama-sama menerajui kepimpinan negara.
Jadi, isu berkenaan menggadaikan bangsa dan agama demi kepentingan politik tidak seharusnya timbul.
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan kerjasama itu berlandaskan dasar menghormati sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang memperakukan hak Raja-Raja serta ketuanan Melayu.
"Kita sering dikonotasikan bahawa kita bekerjasama dengan DAP. Hakikatnya, dalam parti BN kita ada MCA dan kita ada MIC, dalam PH ada DAP. Perkara yang harus kita lihat adalah bagaimana kebersamaan antara BN dgn PH diwujudkan.
"Malah agenda tentang Islam, Melayu, Raja Melayu dan bangsa Melayu tidak pernah diusik oleh PH. Malah, mereka menghormati perkara itu. Itu pendirian UMNO kerana terdapat dalam perlembagaan UMNO bahawa keempat-empat unsur ini wajib dipertahankan. Mereka bersetuju. Saya tidak nampak ada permasalahan kononnya kita terpaksa menggadai maruah dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Skuad Sayang, sejurus memberikan Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023.
(Ahmad Zahid Hamidi)