fb fb fb fb fb

Tunku Azizah cemar duli, santuni 22 pelajar Palestin di UIAM

Foto BERNAMA

GOMBAK, 26 Oktober- Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli menyantuni 22 pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berasal dari Palestin.

Baginda mendengar setiap luahan daripada pelajar-pelajar Palestin itu mengenai situasi yang berlaku di Gaza yang melibatkan keluarga dan negara mereka.

Baginda turut menzahirkan rasa sedih dengan keadaan rakyat Palestin yang dinafikan hak mereka dan dizalimi rejim zionis Israel tanpa sifat kemanusiaan di tanah air mereka sendiri.

Baginda turut menerima surat hasrat (memorandum) daripada wakil komuniti Palestin UIA, Belal Ahmad yang berhasrat besar agar Yang di-Pertuan Agong dapat membaca surat hasrat mereka dalam membantu rakyat Palestin.

Belal Ahmad turut berkongsi cerita bersama kumpulan bagaimana mereka menghubungi keluarga di Gaza.

"Kami tidak dapat berhubung dengan mereka, sejak bermula perang ini. Kami menghubungi mereka hari ke hari atau seminggu sekali tetapi hanya dengan menghantar mesej sahaja. Kemudian, mereka akan balas selepas satu minggu, kadang-kadang dua dan tiga hari."

"Kami dalam keadaan baik, kami masih hidup. Namun, kami tidak dapat menelefon mereka. Jika mereka berpeluang untuk hantar mesej, mereka akan berjalan 2KM, untuk dapat berhubung dengan seseorang atau mendekati dengan orang yang mempunyai internet," luah Belal kepada pemberita, hari ini.

Tunku Azizah menzahirkan komitmen, menyokong penuh untuk bersama dalam menamatkan peperangan yang berlaku di Gaza ketika ini.

Di akhir pertemuan, baginda berkenan mengurniakan senaskah al-Quran kepada kumpulan mahasiswa berkenaan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM