fb fb fb fb fb

Lebih 10,000 individu ditahan terlibat kes dadah

Datuk Fisol Salleh

ALOR SETAR, 26 Oktober- 10,642 individu telah ditangkap di Kedah bagi tempoh Januari hingga September tahun ini dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata, daripada jumlah itu, seramai 2,199 individu ditahan bawah Seksyen 39 B, Seksyen 39A (2), Seksyen 39A (1) dan Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
 
"Pihak kontinjen Kedah juga ingin memaklumkan bahawa kita lebih menumpukan kepada aktiviti penyalahgunaan dadah sama ada daripada segi bekalan atau permintaan aktiviti di seluruh daerah Kedah.

"Daerah-daerah yang berisiko macam saya sebut Kuala Muda, Kota Setar akan jadi penumpuan berterusan dalam aktiviti dadah," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibupejabat Polis Kontinjen, IPK Kedah di Jalan Stadium Alor Setar di sini.

Fisol berkata, seramai 349 individu dituduh bawah Seksyen 39 C ADB 1952 melibatkan penagih berulang dan mempunyai tiga kesalahan bawah Seksyen 15 (1)(a) dan Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
 
Selain itu, seramai  59 individu pula ditahan bawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.
 
Manakala nilai sitaan rampasan bawah perlucuthakan harta berjumlah RM3.11 juta.

Dalam pada itu, Fisol memaklumkan 100.48 kilogram dadah pelbagai jenis bernilai kira-kira RM355,000 telah dilupuskan, pagi tadi.
 
Kesemua barang kes yang dimusnahkan melibatkan 2,687 kertas siasatan yang telah selesai bicara dan dijatuhkan hukuman di mahkamah bagi tahun 2014 hingga 2022.   

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI