fb fb fb fb fb

Empat lelaki ditahan terbabit kes samun

Fisol Salleh menunjukkan barang rampasan dan peralatan samun

ALOR SETAR, 26 Oktober- Empat lelaki berusia antara 27 hingga 40 tahun ditahan kerana terbabit dalam dua kejadian samun berkawan menggunakan senjata di kedai 24 jam di Kedah.
 
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, dalam kejadian pertama di Alor Setar, tiga lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40-an ditahan dalam tempoh kurang 48 jam selepas menyamun sebuah kedai 24 jam pada 21 Oktober lalu.
 
Manakala dalam kejadian kedua di Sungai Petani pada 24 Oktober lalu, seorang lelaki berusia 27 tahun dikesan melakukan samun dengan menggunakan senjata berupa sebilah parang di sebuah lagi kedai 24 jam.
 
Bagaimanapun suspek berusia 27 tahun itu berjaya ditahan pagi tadi.
 
"Kedai-kedai 24 jam ini tidak ada ciri-ciri keselamatan yang baik. Memang ada CCTV tetapi apabila waktu malam hanya seorang pekerja sahaja yang bertugas. Jadi saya fikir itulah peluang yang diambil oleh pelaku-pelaku ini, sebab kalau kita tengok kes-kes pelaku pun di awal pagi.

"Saya menyarankan kepada semua pemilik kedai serbaneka mengambil langkah-langkah keselamatan yang wajar seperti boleh berhubung dengan pihak polis.Pihak polis boleh membuat rondaan namun langkah-langkah keselamatan lain perlu diambil oleh pihak berkenaan," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibupejabat Polis Kontinjen, IPK Kedah di Jalan Stadium Alor Setar di sini.

Suspek disyaki melakukan kegiatan tersebut pada awal pagi.

Kedua-dua kes disiasat dibawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.     

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI