fb fb fb fb fb

Tunku Azizah berkenan rasmi Galeri MOCA Plus

Foto RTM

KUANTAN, 18 Mei – Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan menyempurnakan majlis pelancaran bangunan MOCA+ (MOCA Plus) di Kompleks Muzium Diraja Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.

Majlis pelancaran itu memperlihatkan sokongan diraja terhadap seni tempatan apabila 40 hasil karya agung Allahyarham Nik Zainal Abidin dipamerkan kepada umum, termasuk 11 karya baharu oleh empat artis kontemporari Malaysia: Anniketyni Madian, Faizal Yunus, Saiful Razman dan Zulkifli Lee.

Karya kontemporari tersebut dipersembahkan di bawah tema "When Craft Becomes Attitude", yang memfokuskan kepada pemikiran semula terhadap kedudukan kraf dalam seni kontemporari moden.

Keberangkatan baginda turut diiringi oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin, yang hadir bagi meninjau pameran karya seni tempatan yang bakal dipertontonkan kepada umum bermula 19 Mei hingga 30 November 2025.

MOCA Plus merupakan galeri terbaharu di kompleks muzium berkenaan dan merupakan sambungan kepada Muzium Seni Kontemporari (MOCA) yang menampilkan dua pameran baharu hasil pengurusan Perbadanan Muzium Negeri Pahang, sekali gus memperkukuh usaha negeri dalam memperkasakan seni dan budaya.

Baginda juga turut melawat Muzium Tunku Azizah – Fesyen dan Tekstil, yang memaparkan keunikan busana tradisional wanita Melayu seperti Tenun Pahang Diraja, Tenunan Songket, Broked, Limar, Kelingkan dan Telepuk.

Bangunan MOCA Plus turut dilengkapi dengan kemudahan sokongan seperti ruang pejabat serta kafe atap langit (rooftop café) yang bekerjasama dengan Restoran Akob Patin, membolehkan pengunjung menikmati sajian patin tempoyak dalam suasana langit terbuka berlatarkan seni dan warisan Melayu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD