KUALA LUMPUR, 18 Mei- Unit Pengambilan TVET (UP_TVET) merekodkan sebanyak 106,000 permohonan diterima daripada golongan belia, sejak ia dibuka awal bulan lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata jumlah tersebut membuktikan keberkesanan inisiatif berkenaan sekali gus mencerminkan minat golongan belia terhadap bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Jika permohonan ini ditutup pada akhir Jun ini, saya yakin, insya-Allah jumlah permohonan akan meningkat kepada sekurang-kurangnya 150,000 permohonan yang ingin mengikuti kursus-kursus TVET," kata Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid, malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Hari Belia Negara Peringkat Wilayah Persekutuan 2025 di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) di ibu negara.
Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim.
Tambah beliau, laluan TVET wajar diberikan perhatian sebagai satu alternatif pendidikan yang praktikal kerana ia menjanjikan masa depan yang cerah.
"Gaji permulaan bagi pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 adalah sekurang-kurangnya RM2,500, walaupun kelayakannya setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bagi pemegang SKM Tahap 5, setelah melalui SKM Tahap 4 dan 5 yang setaraf dengan diploma, gaji permulaan adalah lebih tinggi," tambahnya.
Jelas Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid, terdapat enam buah universiti yang sedia menawarkan kursus TVET iaitu Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Selangor (UniSEL), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).