GEORGE TOWN, 8 Mei- Lebih 600 jemaah menghadiri Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat sempena Pelantikan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib di Masjid Negeri, di sini, malam ini.
Ketibaan Tun Ramli bersama isteri Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah disambut Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.
Majlis dimulakan dengan solat maghrib berjemaah, disusuli dengan bacaan Yassin dan doa selamat dipimpin Mufti Kerajaan Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman.
Turut hadir barisan kepimpinan kerajaan negeri antaranya Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar Datuk Rashidi Zinol.
1 Mei lalu, Tun Ramli Ngah Talib mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kesembilan di Dewan Sri Pinang, George Town.
Jawatan itu berkuat kuasa bagi tempoh empat tahun hingga 30 April 2029.