KUALA LUMPUR, 9 Mei - Perdana Menteri berharap hubungan yang terjalin antara Malaysia dengan jiran-jiran di rantau ASEAN, Asia serta seluruh benua terus harmoni dan mendapat manfaat khususnya dari sudut diplomatik, ekonomi dan pelaburan.
Harapan itu disuarakan Datuk Seri Anwar menerusi hantaran di Facebook selepas perbualan telefon bersama tiga rakan sejawatannya , Perdana Menteri Australia Anthony Albanese, Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmao dan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra.
Mereka bertukar pandangan mengenai isu semasa, global, ASEAN, kesan tarif Amerika Syarikat serta usaha berterusan dalam memperkukuh kerjasama dua hala dan serantau.
Sewaktu perbualan dengan Albanese, Perdana Menteri menjemputnya untuk melawat Malaysia dan mengukuhkan persahabatan yang terjalin.
Perkembangan krisis kemanusiaan di Myanmar, status Timor-Leste sebagai anggota tetap ASEAN selain kesediaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN diutarakan semasa perbualan dengan Kay Rala Xanana Gusmão.
Manakala perbualan telefon dengan Paetongtarn membincangan isu membabitkan kedua-dua negara seperti rundingan Dialog Damai Selatan Thailand yang memerlukan inisiatif keamanan dan bukannya membabitkan sebarang elemen keganasan.