fb fb fb fb fb

Tun Musa Aman tinjau PPS Meruntum, sampaikan bantuan banjir

Tun Musa Aman menyampaikan bantuan kepada penduduk terjejas

PUTATAN, 16 September - Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman hari ini meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Meruntum bagi melihat keadaan penduduk terjejas banjir di daerah Putatan.

Dalam lawatan tersebut, beliau turut menyampaikan bantuan kewangan dan bakul makanan kepada 33 ketua isi rumah yang ditempatkan di PPS berkenaan.

Turut mengiringi beliau, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari serta Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.

Setakat tengah hari tadi, seramai 121 penduduk daripada 33 keluarga masih berada di PPS Meruntum. Mereka terdiri daripada tujuh kampung iaitu Kampung Lembising, Kampung Tembongon, Kampung Kepayan, Kampung Ulu, Kampung Ketiau, Kampung Sailan dan Kampung Duvanson.

Secara keseluruhan, 537 penduduk daripada 130 keluarga di daerah Putatan telah dipindahkan ke empat PPS susulan banjir yang melanda sejak beberapa hari lalu.

Tun Musa turut meninjau PPS Dewan Huguan Siou Tuavon, Penampang yang menempatkan 152 penduduk daripada 35 keluarga.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE