LONG LAMA, 16 September - Jumlah penduduk terjejas banjir yang ditempatkan pusat pemindahan sementara (PPS) SJK(C) Kee Tee, Long Lama meningkat kepada 56 orang daripada 21 keluarga setakat pukul 1.00 tengah hari tadi.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi, Lt. (PA) Mirwan Shah Masri, jumlah itu meningkat berikutan tiga penduduk dari Pekan Long Lama dipindahkan pada pukul 12.13 tengah hari tadi melibatkan dua dewasa dan seorang kanak-kanak.
Beliau berkata, kenaikan paras air berpunca daripada fenomena air sungai pasang besar yang bertembung dengan hujan lebat berkala sejak 8 September lalu.
"Antara kawasan terjejas ialah Pekan Long Lama, Kampung Kayan Long Lama dan Kampung Cina Long Lama. Pecahan penduduk terjejas di PPS membabitkan 22 orang daripada tujuh keluarga dari Pekan Long Lama, 27 orang daripada 11 keluarga dari Kampung Kayan Long Lama, serta tujuh orang daripada tiga keluarga dari Kampung Cina Long Lama.
"Seramai 36 petugas daripada pelbagai agensi termasuk Pejabat Daerah, APM, KKM, PDRM, RELA, JKM dan UKPS turut dikerahkan bagi menguruskan operasi pemindahan serta kebajikan penduduk.," katanya.
Mirwan Shah berkata keadaan di PPS terkawal dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.