PENAMPANG, 16 September - Kebajikan penduduk terjejas banjir di beberapa daerah di Sabah terus diberi perhatian kerajaan dengan memastikan keperluan mereka di pusat pemindahan sementara (PPS) sentiasa terjaga.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib, merakamkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu memastikan keselamatan, keselesaan dan kebajikan penduduk diberi keutamaan.
"Jabatan Kebajikan akan menambah kakitangan di setiap PPS termasuk mengambil kakitangan sementara atau sukarelawan bagi menampung kekurangan pegawai," katanya.
Datuk James berkata demikian selepas melawat PPS Kompleks Sukan Penampang yang kini menempatkan 101 penduduk daripada 25 keluarga.
Jabatan Kebajikan turut menyediakan kit pengurusan bencana mengandungi keperluan asas seperti selimut, bantal dan tuala untuk diagihkan di PPS.
Setakat ini, kira-kira 1,500 kit telah diedarkan di daerah Penampang dan Putatan.