SUNGAI PETANI, 28 Jun- Seorang pekerja di sebuah kilang menghasilkan produk berasaskan getah pengsan manakala 16 lagi rakan sekerjanya mengalami gejala pedih mata dan pening dipercayai akibat tumpahan kimia di Bakar Arang dekat sini, petang semalam.
Komander Operasi Kanan Penolong Penguasa Bomba, Fauzi Shuib berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada 3.04 petang memaklumkan berlaku tumpahan bahan kimia sodium hypochlorite.
"PGO Kedah telah mengarahkan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani ke lokasi kejadian… setibanya di lokasi kejadian didapati berlaku tumpahan bahan kimia di kilang berkenaan.
"Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, mangsa yang pengsan telah dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) oleh pihak kilang manakala mangsa lain yang mengalami gejala pedih mata dihantar ke klinik berdekatan dan HSAH untuk rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, tumpahan kimia sodium hypochlorite dianggarkan sebanyak 60 liter dan tindakan nyahcemar dilakukan di lokasi kejadian menggunakan air.
Fauzi berkata penggunaan kertas litmus digunakan bagi mengesan bacaan asid dan didapati dalam keadaan normal.
"Pada 5.23 petang, dilaporkan sebanyak tujuh lagi mangsa telah dibawa ke hospital oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) bagi pemeriksaan susulan," katanya.
Ujarnya, kerja-kerja overhaul telah dilakukan di lokasi sehingga tiada lagi unsur bahaya dan operasi tamat sepenuhnya pada 5.48 petang semalam.