KLUANG, 28 Jun - Tiga sahabat maut manakala seorang parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas melanggar tiang elektrik di Jalan Renggam, Simpang Renggam tengah malam tadi.
Dalam kejadian itu, Mohamad Ziyad Azmi, Ahmad Manan Zaini dan Muhamad Adib Ahmad Shahfarin, semuanya berusia 21 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.
Manakala mangsa yang parah dikenali sebagai Nor Aminul Fitri Nor Azmi juga 21 tahun tahun, dikejarkan ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK).
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Shoromi Salih dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 11.45 malam dan jentera sampai ke lokasi pada 11.47 malam.
"Ketika kejadian, Sebaik Pasukan Keluaran Operasi (PKO) BBP Kluang tiba ke lokasi, didapati kemalangan berkenaan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Wira yang terbabas melanggar tiang elektrik TNB di tepi jalan.
"Bomba mengeluarkan semua mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Sementara pemandunya tidak dapat disahkan kerana semua mangsa bertindih ketika ditemui pasukan bomba," katanya.
Shoromi berkata, operasi ditamatkan pada 1.13 pagi tadi.