fb fb fb fb fb

100 tahun Tambak Johor perkukuh semangat kejiranan Malaysia, Singapura

Tunku Mahkota Ismail menyaksikan Onn Hafiz dan Vivian bertukar plak cenderahati kenangan membabitkan ukiran 100 Tahun Tambak Johor pada Majlis Sambutan rasmi ulang tahun ke-100 Tambak Johor di titik tengah sempadan Malaysia-Singapura.

JOHOR BAHRU, 28 Jun- Sambutan 100 tahun Tambak Johor dilihat akan memperkukuh dan mengeratkan lagi semangat kejiranan antara Malaysia dan Singapura.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sambutan itu amat bermakna untuk kedua-dua negara kerana disambut selepas seabad kewujudan tambak itu.

"Alhamdulillah hari ini kita lihat sendiri sambutan 100 Tahun Tambak Johor. Ia sangat signifikan untuk warga Johor, Malaysia dan Singapura.

"Kerajaan Johor menjunjung kasih ke atas keberangkatan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang sudi mencemar duli menghadiri sambutan 100 Tahun Tambak Johor.

"Kita harap sambutan ini akan mengukuh dan eratkan lagi semangat kejiranan antara Johor, Malaysia dan Singapura," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Onn Hafiz dan semua barisan EXCO Johor melawat pameran 100 Tahun Tambak Johor di Muzium Tokoh, di sini.

Sebelum itu, Onn Hafiz dan Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan menyambut Tunku Mahkota Ismail di titik sempadan Malaysia-Singapura bagi sambutan rasmi 100 Tahun Tambak Johor.

Sebagai simbolik semangat setiakawan dan persaudaraan rapat antara Malaysia dan Singapura, sebanyak 100 burung merpati dilepaskan di titik tengah sempadan Malaysia-Singapura di atas tambak berkenaan, hari ini.

Pelepasan 100 burung merpati itu disempurnakan Pemangku Sultan Johor bersama Onn Hafiz dan Vivian.

Tunku Mahkota Ismail kemudian menyaksikan Onn Hafiz dan Vivian bertukar plak cenderahati kenangan membabitkan ukiran 100 Tahun Tambak Johor.

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, beliau dan delegasi kerajaan Johor akan menyertai sambutan rasmi 100 Tahun Tembak Johor di Singapura, tengah hari ini.

Beliau dan rombongan kerajaan Johor akan ke Masjid Teluk Belanga, Singapura untuk solat Jumaat dan kemudian menghadiri
acara sambutan 100 Tahun Tambak Johor bersama kerajaan Singapura di Woodlands Civic Centre.

Tambak Johor menandakan hubungan utuh satu abad antara dua negara berjiran yang hanya dipisahkan dengan tambak batuan granit sepanjang 1,056 meter.

Ia bukan sekadar penghubung antara Malaysia iaitu Johor Bahru dan Singapura, malah amat berjasa memudahkan jutaan rakyat kedua negara yang berulang-alik.

ZEHRA BINTI ZAMBRI