(Datuk Seri Anwar ditemui media selepas bersarapan di sebuah restoran di Ampang Jaya)
AMPANG, 29 Julai- Pengerusi Pakatan Harapan (PH),Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan pertukaran saat akhir calon yang bertanding pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) adalah proses biasa.
Pertukaran yang melibatkan calon daripada partinya, Parti Keadilan Rakyat PKR semestinya dilakukan selepas melihat terdapat keperluan untuk berbuat demikian.
Beliau memaklumkan bagi DUN Kota Damansara, pertukaran melibatkan Aidi Amin Yazid yang sebelum ini diumum sebagai calon, digantikan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor Muhammad Izuan Ahmad Kasim.
"Itu perkara biasa kalau ada apa-apa keperluan, kita tukar contohnya di Kota Damansara dan di Terengganu dan satu di Kelantan.
"Itu proses biasa lagi pun dalam kes Izuan Kasim, Ketua AMK Selangor kita rasa wajar dan AMK telah minta saya pertimbangkan semula kerana ketiadaan calon mewakili AMK di Selangor,"katanya.
Beliau menyatakan perkara itu ketika ditemui media selepas bersarapan di sebuah restoran di Ampang Jaya.
Perdana Menteri yang juga Presiden PKR bagaimanapun tidak memperincikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mana di Kelantan dan Terengganu yang terlibat dalam pertukaran saat akhir itu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pertukaran saat akhir calon PKR di kerusi DUN Kota Damansara yang dimaklumkan Naib Presiden yang juga Pengerusi PKR Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, lewat malam tadi.
(Muhammad Izuan Ahmad Kasim (KIRI) mewakili PH bertanding DUN Kota Damansara)