fb fb fb fb fb

Tujuh suspek ditahan kes kekecohan di Kampung Sungai Baru

Datuk Fadil Marsus

KUALA LUMPUR, 13 September - Polis menahan tujuh individu susulan insiden kekecohan yang berlaku di Kampung Sungai Baru pada Khamis lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, mereka yang ditahan berusia antara 15 hingga 50 tahun.

"Salah seorang daripada mereka telah dituduh, mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman denda RM1,500. Setelah membayar denda, individu tersebut dibebaskan. Sementara itu, enam lagi masih dalam siasatan dan direman," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Operasi Patuh Undang-undang (OP PUU) awal pagi tadi di ibu negara.

Tiga kertas siasatan juga dibuka mengikut Seksyen 186, 353 dan 324 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam ketika menjalankan tugas.

Pada Khamis lalu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman mengalami kecederaan di kepala dalam insiden yang berlaku semasa operasi pengosongan 37 unit rumah teres di Kampung Sungai Baru.

Dalam pada itu, sebanyak 11,984 notis amaran dikeluarkan kepada orang ramai yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas menerusi OP PUU sejak 6 September lalu.

"Kira-kira 11,900 notis advokasi telah dikeluarkan, melibatkan motosikal, van, lori dan teksi. Selain itu, seramai 365 pejalan kaki turut dikenakan notis," katanya.

Operasi itu akan dijalankan secara komprehensif bersama rakan strategik seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Pendekatan itu juga merupakan antara usaha PDRM untuk memberi advokasi serta meningkatkan kesedaran masyarakat agar mematuhi peraturan dan undang-undang

###

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI