BUKIT PALAH, 13 September- Lebih 5,000 umat Islam berhimpun sempena Program Melaka Berselawat dan Majlis Penyampaian Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka di Dataran Pusat Islam Melaka, Bukit Palah, semalam.
Kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyerikan lagi program tersebut.
Exco Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, selain laungan selawat, turut disampaikan enam Anugerah Khas Maulidur Rasul 1447H yang masing-masing akan membawa pulang wang tunai RM3,000 sijil dan plak penghargaan.
Antara kategori anugerah termasuk masjid dan surau terbaik, pengusaha halal terbaik, serta kontinjen terbaik daripada agensi kerajaan, masyarakat awam dan institusi pengajian tinggi.
"Antara kriteria utama yang ditetapkan adalah status sebagai pembayar zakat. Sebagai contoh, bagi anugerah usahawan industri halal, penerima mestilah pembayar zakat kepada Zakat Melaka. Bagi kategori masjid dan surau, penilaian dibuat berdasarkan sejauh mana aktiviti yang dijalankan dapat mengimarahkan institusi tersebut.
Sekiranya terdapat banyak program yang memberi manfaat kepada ahli kariah beserta bukti pelaksanaan seperti gambar dan dokumentasi, ia akan diambil kira sebagai kriteria penilaian," kata Datuk Rahmad kepada pemberita, semalam.
Beliau ditemui selepas Majlis Melaka Berselawat Dan Penyampaian Anugerah Khas Maulidur Rasul 1447H Peringkat Negeri Melaka di sini.
Sementara itu, Koperasi Masjid Al-Alami MITC, Ayer Keroh telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Maulidur Rasul dalam Kategori Koperasi Masjid atau Surau Terbaik.
Pengerusi Lembaga Koperasi Kariah Masjid Al-Alami MITC Melaka Berhad, Datuk Mohd Arif Yusa berkata, pengiktirafan itu merupakan penghargaan kerajaan negeri terhadap usaha koperasi masjid dalam mempelbagaikan peranan institusi berkenaan, bukan sahaja sebagai pusat ibadah malah sebagai pusat aktiviti keusahawanan dan kemasyarakatan.
"Hal ini menjadi satu motivasi kepada kami sebagai ahli lembaga koperasi, di samping memberikan semangat kepada koperasi-koperasi masjid lain untuk terus melaksanakan aktiviti muamalat serta mengembangkan syiar Islam melalui pendekatan tersebut.
Dengan cara ini, usaha muamalat yang dijalankan bukan sahaja mendatangkan manfaat, malah dilaksanakan secara berkat," kata Datuk Mohd Arif kepada pemberita.
