KUALA LUMPUR, 13 September - Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai rujukan banyak negara dalam industri halal hasil usaha konsisten mendidik masyarakat, industri serta kerjasama erat dengan pihak luar negara.
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Muhammad Naim Mohd Aziz berkata, penganjuran Global Halal Summit (G-HAS) 2025 pada 16 hingga 18 September ini dilihat sebagai ruang untuk memantapkan kedudukan negara dalam sektor itu.
"Kalau sebut kata pensijilan, hari ini kita melihat dia sudah menjadi satu perkara yang standard dunia. Sekiranya kita singkap sejarah, Malaysia merupakan negara perintis dalam mempelopori dan mengenengahkan standard halal dan juga persijilan halal ini.
"Sehingga hari ini, Alhamdulillah kita telah pun meletakkan Malaysia itu sebagai peneraju dalam mempromosi meningkatkan kedudukan industri halal ini sehinggakan pihak luar negara itu melihat Malaysia ini sebagai satu rujukan utama dan ini merupakan kejayaan yang sangat luar biasa untuk negara yang telah pun kita usahakan sejak sekian lama," katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media hari ini.
Sehingga kini sebanyak 47 buah negara telah mengiktiraf standard halal Malaysia dan bekerjasama dalam pensijilan halal luar negara, sekali gus memastikan bahan mentah serta produk import menepati piawaian halal sebelum memasuki pasaran tempatan.
Dalam G-HAS 2025, dua program utama akan dikendalikan JAKIM iaitu Halal Certification Bodies Convention (HCBC) yang menghimpunkan badan pensijilan halal diiktiraf seluruh dunia, serta International Halal Technical Capacity Development Program yang menekankan aspek latihan auditor halal.
Penganjuran G-HAS kali ini menerima sambutan luar biasa dengan pengesahan penyertaan daripada 48 negara, membuktikan Malaysia terus diyakini sebagai peneraju standard halal global.
