fb fb fb fb fb

Lenggong diiktiraf UNESCO Global Geopark, lonjak pelancongan dan ekonomi tempatan

Foto Fail

IPOH, 13 September- Lenggong kini secara rasmi diterima sebagai Lenggong UNESCO Global Geopark (UGGp) oleh UNESCO Global Geoparks Council.

Pengiktirafan itu susulan usaha berterusan kerajaan Perak memperkasa pemuliharaan alam, sejarah dan budaya tempatan.

Keputusan tersebut dibuat dalam Persidangan Antarabangsa ke-11 Global Geopark di Universidad Católica de Temuco, Araucanía, Chile, sempena Mesyuarat ke-10 UNESCO Global Geoparks Council pada 7 September lalu.

Penerimaan tersebut dicapai empat tahun selepas Lenggong diwartakan sebagai Lenggong Geopark Kebangsaan pada 16 Disember 2021, menunjukkan nilai alam, sejarah dan budaya kawasan tersebut diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Menurut Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, ia hasil kerjasama erat Badan Pengurusan Lenggong Geopark, komuniti tempatan, Kerajaan Negeri Perak, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG)serta penggiat industri pelancongan.

Beliau menekankan bahawa penerimaan berkenaan membuka peluang kepada pembangunan mampan, pelancongan antarabangsa dan limpahan ekonomi kepada rakyat tempatan, sambil mengekalkan kelestarian alam, warisan budaya serta kepentingan komuniti.

Status Lenggong sebagai UNESCO Global Geopark akan disahkan oleh Lembaga Eksekutif UNESCO pada Januari 2026, sebelum diumumkan secara rasmi semasa Perhimpunan Agung UNESCO pada Mei 2026.

Lenggong, yang mula diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2012, kini mencapai tahap lebih tinggi, membolehkan pembangunan mampan dan pelancongan yang memberi manfaat ekonomi kepada komuniti setempat.

Pengiktirafan tersebut sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari PBB 2030 menekankan keseimbangan antara pembangunan ekonomi, sosial dan budaya serta memastikan kelestarian warisan alam yang bernilai tinggi.

Datuk Seri Dr. Shamsul menegaskan pengiktirafan itu akan memacu pertumbuhan ekonomi, memperkasa pelancongan dan budaya serta kepentingan komuniti tempatan terpelihara untuk generasi akan datang.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM