KOTA KINABALU, 15 Julai - Lebih 60,000 pengguna di Sabah dan Labuan kini menikmati bekalan elektrik lebih stabil hasil pelaksanaan tujuh projek tenaga Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek bernilai RM260 juta itu melibatkan naik taraf pencawang, sambungan talian grid baharu dan sistem pemantauan keselamatan bekalan elektrik.
Ia membabitkan beberapa lokasi di Sipitang, Beaufort, Tanjung Aru, Ranau, Sandakan dan Labuan.
"Antara projek berkenaan termasuk Pencawang Masuk Utama (PMU) Kota Kinabalu, Sambungtara 132kV Labuan–Sipitang, Pembahagi Utama (PPU) 33/11kV Ranau, PPU Batu Sapi, Protection On-Line Monitoring, PMU 132/33/11kV Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Sistem Pengukuhan 11kV Labuan", katanya.
Datuk Seri Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakannya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Tujuh Projek Siap Pasukan Khas Bekalan Elektrik Sabah di PMU Kota Kinabalu.
Tambah beliau, pelaksanaan projek berkenaan dapat memperkukuh infrastruktur tenaga sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat.
“Tujuannya tidak lain untuk memastikan kesejahteraan rakyat terbela. Segala utiliti dan kemudahan projek yang dilaksanakan dapat disiapkan dengan sempurna.
Ini termasuk usaha membendung banjir, kajian rawatan air serta meningkatkan bekalan tenaga di Sabah bagi menjamin keterjaminan bekalan untuk pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.
Pelaksanaan menerusi Pasukan Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES) itu sekali gus memperkukuh infrastruktur penghantaran dan pembahagian elektrik di Sabah dan Labuan serta menjamin perkhidmatan lebih berkualiti.