KENINGAU, 14 Julai - Kementerian Komunikasi menyasarkan lebih 10,000 institusi pendidikan menyertai Kempen Internet Selamat menjelang akhir tahun ini.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kempen itu bertujuan memperkasa literasi digital serta membentuk persekitaran siber yang selamat dan beretika.
“Kita akan buat sedaya upaya, kita sedang mempromosikan program ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menghubungi sekolah-sekolah, tetapi jika sekolah berminat, boleh juga hubungi MCMC dan kami akan hantar jurulatih ke sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena pelancaran Kempen Internet Selamat di Sekolah Kebangsaan Pasir Putih di sini.
Jelasnya, kempen memberi tumpuan kepada empat fokus utama iaitu buli siber, penipuan dan judi dalam talian, eksploitasi seksual kanak-kanak serta perlindungan data.
Setakat 1 Julai, lebih 31,000 peserta daripada 221 sekolah, termasuk 64 di Sabah, telah terlibat secara langsung.
Kempen bertemakan Kepercayaan Digital ini turut mendapat kerjasama MCMC dan pelbagai agensi berkaitan.
Terdahulu, Teo turut menyampaikan 20 bakul makanan kepada penduduk Mukim Luagan menerusi program sentuhan komuniti.